Khamis, 20 Mac 2014

Panduan BINA KATA LALUAN ( Password)

Bagaimana untuk membina kata laluan yang kuat dan selamat?
Beberapa panduan boleh diikuti untuk membina kata laluan iaitu:-
* Tidak menggunakan maklumat peribadi seperti nama, nombor plat kereta dan lain-lain.
* Tidak menggunakan perkataan yang biasa digunakan dalam sesuatu bahasa seperti buku, sekolah dan lain-lain.
* Pastikan perkataan yang dibina untuk kata laluan menggabungkan pelbagai jenis aksara seperti huruf, simbol dan angka.
* Pastikan kata laluan yang dibina tidak digunakan oleh aplikasi atau sistem komputer yang lain.
* Pertukaran kata laluan yang digunakan bagi setiap 30 atau 60 hari sekali.
* Menggunakan kata laluan yang sukar untuk diteka oleh pihak lain.
* Panjang aksara yang digunakan untuk satu kata laluan adalah antara 12 hingga 15 aksara. Lebih panjang lebih baik kerana ia lebih sukar untuk dipecah masuk.
* Kata laluan yang dibina boleh menjadi satu singkatan bagi satu ayat yang panjang bagi memudahkan untuk mengingatinya.

Mencipta ID dan kata laluan

ID dibentuk menerusi angka dan abjad (alphanumeric), iaitu gabungan abjad (a-z, A-Z) atau angka (0-9). Nama pengguna mestilah dimulakan dengan abjad dan disarankan agar menggunakan nama yang berkaitan dengan diri saudara.

Contohnya, Yamato atau AlibinAbu.

Kata laluan yang dicipta biasanya berkait rapat dengan diri saudara seperti tarikh lahir, nombor plat pendaftaran kenderaan, nombor telefon, nama isteri, nama ibu dan sebagainya.

Contohnya, 31081980, zaleha, ADK1800.

Kecuaian mencipta kata laluan

Penceroboh dan pemecah kata laluan mampu membuat tekaan rambang kata laluan yang digunakan oleh saudara sekiranya tahu tarikh lahir, makanan kegemaran saudara dan banyak lagi.

Apatah lagi sejak kemunculan perisian-perisian pemecah kata laluan, hal ini memudahkan lagi kerja-kerja penjanaan kata laluan secara automatik. Penceroboh hanya perlu menjalankan perisian dan meminum teh sambil menggoyangkan kaki sahaja.

Bagaimana penceroboh mendapatkan kata laluan?

Sebagai contoh, saudara menggunakan “safwan” sebagai kata laluan. Maka, terdapat 6 huruf. Ini bermakna terdapat 26 x 26 x 26 x 26 x 26 x 26 = 308,915,776 percubaan atau kemungkinan untuk memperolehi kata laluan saudara.
Jika saudara menggunakan gabungan huruf besar dan huruf kecil termasuk nombor, kemungkinan tekaan untuk setiap huruf bagi kata laluan saudara ialah 26 + 26 + 10 = 62.
Contohnya, “SaFwaN88”. Kemungkinan tekaan menjadi 62 x 62 x 62 x 62 x 62 x 62 x 62 x 62 = 218,340,105,584,896.
Sekiranya, kata laluan saudara digabungkan dengan karakter khas seperti &, %, $, # dan *. Dianggarkan lebih kurang 21 karakter khas kesemuanya. Maka, kemungkinan untuk meneka kata laluan bagi setiap huruf meningkat menjadi 26 + 26 + 10 + 21 = 83.
Contohnya, “S4fw@N”. Kemungkinan tekaan menjadi 83 x 83 x 83 x 83 x 83 = 3,939,040,643.

 

Langkah keselamatan

Oleh yang demikian, saya menyarankan kepada pembaca supaya membina kata laluan atau mengubah yang sedia ada kepada yang lebih selamat dan diyakini keutuhannya. Gabungan huruf besar-kecil, nombor dan karakter khas menjadikan kata laluan saudara sukar dicerobohi oleh penceroboh.
Bagi akaun syarikat atau organisasi pula mestilah dikemas kini atau ditukar kata laluannya setiap minggu atau bulan untuk menggagalkan usaha penceroboh mendapatkan kata laluan.
Jangan catatkan kata laluan di atas kertas, di komputer atau disimpan di dalam dompet. Paling penting, jangan terlupa kata laluan yang dicipta sendiri!

0 ulasan:

Catat Ulasan